Wednesday, February 16, 2011

1Malaysia 1Ummah mampu jadi jambatan pupuk perpaduan



PUTRAJAYA 15 Feb. - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah, tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu 1Malaysia 1Ummah mampu menjadi jambatan dalam memupuk perpaduan sama ada di kalangan umat Islam mahu pun sesama masyarakat.
Dalam mengorak langkah ke arah itu, titah Seri Paduka, setiap rakyat Malaysia haruslah menghakis sikap curiga mencurigai antara satu sama lain.
Titah Seri Paduka, sentimen perkauman yang sempit mestilah dibanteras dari awal sebelum ia membarah dalam masyarakat.
"Bersamalah kita membina negara yang tercinta ini dengan nilai kasih sayang dan persefahaman. Perpaduan dan keharmonian yang telah kita bina, janganlah kita runtuhkan hanya kerana mencari keuntungan sementara.
"Sesungguhnya, nilai-nilai murni yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW mampu menyatukan seluruh umat manusia sekiranya kita ikhlas untuk berbuat demikian, sebagai umat Islam marilah kita berpegang teguh dengan ajaran al-Quran dan Sunnah," titah Tuanku Mizan.
Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1432H/2011 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.
Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin berserta isteri masing-masing, Datin Seri Rosmah Mansor dan Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Turut serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan lebih 4,000 hadirin.
Tuanku Mizan bertitah, keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW telah memberi panduan kehidupan yang baik untuk diikuti.
Contohnya, dalam kepimpinan keluarga yang mana baginda merupakan contoh teladan yang terbaik.
"Baginda mampu memperlihatkan akhlak yang sangat terpuji, hatta sebelum diangkat menjadi Rasul. Akhlak baginda bukan sahaja cemerlang dalam hubungan dengan Allah tapi juga amat indah dalam hubungan sesama manusia.
"Keputeraan Junjungan Besar kekasih Allah ini juga telah membawa cahaya tauhid yang mampu merubah kehidupan insan dan juga merubah kehidupan manusia yang berada dalam kegelapan jahiliah kepada cahaya keamanan yang hakiki," titah Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, jasa dan sumbangan Rasulullah itu sewajarnya dihargai oleh seluruh umat Islam dengan mengamalkan ajaran Islam dengan bersungguh-sungguh.
Dengan menghayati dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar akan menghasilkan natijah terbaik sama ada di dunia mahu pun akhirat.
"Hanya dengan menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai pegangan dan landasan Tauhid sebagai panduan, kita akan menjadi umat yang terbaik. Hal ini bertepatan dengan hadis baginda yang bermaksud;
"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan Sunnah Rasulullah," titah Seri Paduka.
Seri Paduka turut menyeru kepada seluruh umat Islam agar terus berusaha mempertingkatkan pencapaian yang mereka miliki sekarang supaya umat dan negara terus cemerlang.
"Marilah kita merealisasikan keindahan Islam dalam kehidupan, moga-moga hidup kita diberkati dan diredai oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala, Insya-Allah," titah Yang di-Pertuan Agong.

No comments:

Post a Comment