Thursday, February 17, 2011

Asmara dalam ‘kereta sakit’

SEREMBAN: Memalukan apabila segelintir remaja dikesan menjadikan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) berhampiran Taman Bukit Margosa, Paroi, dekat sini, sebagai ‘port kereta sakit’ dipercayai untuk memadu asmara pada waktu tengah malam dan awal pagi sejak awal bulan lalu.
Kebanyakan mereka melakukan aktiviti itu di dalam kereta sama ada dengan meletakkan kenderaan di tepi lebuh raya atau bergerak perlahan antara kawasan taman berkenaan ke Taman Tasik Jaya, Senawang, di sini, kira-kira dua kilometer.

Perbuatan mereka dikesan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) Taman Bukit Margosa yang melakukan operasi rondaan keselamatan setiap malam di kawasan taman terbabit dan menemui tiga hingga empat pasangan remaja memadu kasih dalam kenderaan.

Timbalan Pengerusi SRS taman itu, Azizul Rahman Mohd Yusof, 40, berkata dalam operasi baru-baru ini, pihaknya menemui dua pasangan remaja memadu kasih dalam dua kereta berasingan di tepi lebuh raya dan sebuah lagi bergerak perlahan di laluan kecemasan.

Menurutnya, kejadian disedari berlaku kira-kira jam 3 pagi apabila empat anggota SRS yang menaiki dua motosikal mengekori kenderaan terbabit, namun mereka memecut kenderaan ke Jalan Seremban-Kuala Pilah sebaik menyedari diperhatikan.

“Kami percaya mereka memilih laluan berkenaan untuk melakukan aktiviti maksiat kerana menganggap kawasan terbabit agak sunyi pada waktu tengah malam dan awal pagi kerana kenderaan kurang melalui lebuh raya itu pada waktu
“Bagaimanapun, mereka didapati tidak memikirkan kesan tindakan itu kerana boleh mengundang bahaya seperti dilanggar kenderaan lain kerana banyak kes membabitkan kemalangan di lebuh raya termasuk mereka yang meletakkan kenderaan di laluan kecemasan,” katanya.

Katanya, pihaknya tidak boleh menahan mereka kerana ia di luar bidang kuasa mereka, tetapi memantau bagi memastikan imej kawasan taman tidak terjejas selain kegiatan itu perlu dibanteras itu.
“Kami akan terus memantau kegiatan tidak bermoral itu supaya mereka tidak menjadikan kawasan ini sebagai ‘port’ untuk melakukan maksiat kerana sebelum ini pernah berlaku kes pasangan remaja hampir melanggar anggota SRS ketika dikejar,” katanya.

Azizul Rahman berkata, pihaknya berharap ibu bapa melaksanakan peranan mereka terutama dalam memantau pergerakan anak remaja perempuan masing-masing sebelum berlaku sesuatu kejadian tidak diingini.

“Ibu bapa perlu membuat pemantauan terhadap pergerakan anak remaja mereka bagi mengelak nasib dan masa depan anak mereka terjejas disebabkan perbuatan sia-sia,” katanya.

Penduduk lain, Abd Aziz Abd Hamid, 49, berkata pihaknya meminta kerjasama Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) untuk memantau kawasan berkenaan bagi memastikan aktiviti tidak sihat itu berterusan.

“Pemantauan pihak berkuasa agama mampu mencegah kegiatan yang bukan saja bertentangan ajaran Islam,” katanya.

No comments:

Post a Comment