Friday, February 18, 2011

Perkeso tidak akan kompromi

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan mengerahkan 1,500 pegawainya bagi mengesan majikan yang masih tidak berdaftar di bawahnya menerusi ‘Ops Kesan Perkeso 2011’ bermula 1 Mac ini.

Ketua Eksekutifnya, K Selvarajah berkata, di bawah operasi bersepadu besar-besaran di seluruh negara, Perkeso tidak akan berkompromi, malah tindakan undang-undang akan diambil selepas tarikh itu jika majikan masih gagal berbuat demikian.

“Ops Kesan Perkeso akan dilakukan dari pintu ke pintu selama sebulan secara serentak di seluruh negara.

“Justeru, majikan yang belum berdaftar diseru berbuat demikian di mana-mana 46 pejabat Perkeso dan majikan bukan sahaja perlu mendaftar tetapi juga perlu membayar kesemua jumlah caruman pekerja mereka sebelum 1 Mac,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, jumlah majikan yang aktif mendaftar dan mencarum setakat ini agak mengecewakan iaitu hanya 340,000 majikan dan 5.5 juta pekerja.

“Kami juga akan melakukan semakan dengan majikan berdaftar kerana ada antara mereka cuma mendaftar tetapi tidak mencarumkan pekerja, malah ada yang cuma daftar separuh dan separuh lagi pekerja tidak didaftarkan.

“Majikan yang ada seorang pekerja pun perlu mendaftar dan bayar caruman setiap bulan kepada Perkeso, tidak kira pekerja kontrak atau sambilan.

"Pekerja yang tidak perlu dibayar caruman Perkeso cuma pekerja luar negara dan orang gaji,” katanya.

Pada tahun lalu, sebanyak 4,452 majikan dikenakan tindakan undang-undang dan daripada jumlah itu, 3,939 majikan dikompaun dengan jumlah RM2,342,350 atas pelbagai kesalahan seperti gagal mendaftar perusahaan, gagal mendaftar pekerja serta lewat melaporkan kemalangan.

Selvarajah berkata, tindakan mahkamah akan dikenakan terhadap majikan yang gagal menjelaskan kompaun.

Pada tahun lalu, sebanyak 513 majikan didakwa di mahkamah dan jumlah denda yang dikenakan adalah RM346,730.

"Perkeso juga dalam usaha mendakwa 669 majikan atas beberapa kesalahan di bawah Akta Keselamatan Sosial 1969.

"Majikan perlu mendaftar serta mencarum pekerja mereka dengan Perkeso bagi memastikan pekerja yang layak dilindungi di bawah Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat mendapat perlindungan jika mengalami kemalangan," katanya.

Menurutnya, Perkeso juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mendapatkan maklumat mengenai syarikat baru berdaftar. - Bernama

No comments:

Post a Comment