Friday, February 18, 2011

Badrul Hisham kekal ADUN Pelabuhan Kelang

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Sivil di sini, semalam mengisytiharkan Badrul Hisham Abdullah kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang dan berhak menghadiri persidangan serta menjalankan tugas berkaitan.

Hakim, Datuk Zaleha Yusuf membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Speaker Dewan Undangan negeri (DUN), Datuk Teng Chang Khim untuk membatalkan saman pemula Badrul Hisham terhadapnya, yang telah mengumumkan kekosongan kerusi DUN itu pada 19 Januari lalu.

Hakim berkenaan menerima hujah saman pemula Badrul Hisham dan memutuskan bahawa pengisytiharan kekosongan kerusi itu adalah tidak sah.

Pada masa sama mahkamah memerintahkan Chang Khim membayar keseluruhan kos sejumlah RM40,000 kepada Badrul Hisham.

Sebelum ini, Chang Khim mengumumkan kekosongan kerusi DUN Pelabuhan Klang dengan dakwaan Badrul Hisham gagal menghadiri sidang DUN selama enam bulan berturut-turut tanpa alasan munasabah mengikut Perkara 69 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

Berikutan itu, pada 24 Januari lalu, Badrul Hisham memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Sivil di sini, terhadap Chang Khim sebagai defendan pertama manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku defendan kedua.

Menerusi saman tersebut, beliau memohon mahkamah membuat deklarasi bahawa pengisytiharan oleh Chang Khim itu adalah ultra vires (melampaui batas undang-undang) Artikel 69 dan salah serta tidak sah.

Badrul Hisham diwakili peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun dan Firoz Jamaluddin dari Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak manakala Chang Khim diwakili peguam, Nur Ashikin Abdul Rahim daripada Tetuan Tommy Thomas serta SPR diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md Said.

Selepas prosiding yang berlangsung dalam kamar itu, Mohd Hafarizam ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pengiraan tempoh tidak hadir selama enam bulan seperti yang didakwa Chang Khim sepatutnya dikira daripada tarikh 8 November 2010 dan seterusnya, bukan daripada 16 Julai 2010.

“Pada persidangan DUN antara 12 dan 15 Julai 2010, beliau (Badrul Hisham) hadir pada tarikh 12 dan 15 Julai 2010.

“Tiada persidangan antara 15 Julai hingga 8 November 2010. Beliau hanya tidak datang pada tarikh 8 November 2010 dan ke hadapan,” katanya.

Sementara itu, Badrul Hisham ketika ditemui berkata, beliau bersyukur kerana keputusan mahkamah berpihak kepadanya.

“Saya adalah wakil yang dipilih rakyat. Kemenangan ini adalah kemenangan rakyat Pelabuhan Klang,” katanya.

Badrul Hisham memenangi kerusi DUN Pelabuhan Klang sebagai calon PKR pada 2008 sebelum keluar parti pada 29 Oktober 2009 dan menjadi ADUN Bebas, kemudian menyertai UMNO Mei tahun lalu

No comments:

Post a Comment