Sunday, February 20, 2011

'Hadiah luar biasa' bakal pengantin

TERKILAN... Shahrul menunjukkan SMS diterima daripada majikan  selain laporan polis dilakukan.
TERKILAN... Shahrul menunjukkan SMS diterima daripada majikan selain laporan polis dilakukan.
JOHOR BAHRU: Seorang bakal pengantin lelaki tidak sangka diraikan dengan ‘hadiah perkahwinan luar biasa’ oleh majikannya empat hari lalu apabila dibuang kerja tanpa alasan munasabah hingga menimbulkan pelbagai tekanan kepadanya.
Lebih mengecewakan, majikan lelaki itu hanya memaklumkan berita malang itu menerusi SMS tanpa menyerahkan surat berhubung tindakan berkenaan.

Pekerja kontrak dikenali sebagai Shahrul Zainorizam, 26, berkata dia terkilan apabila menerima SMS terbabit daripada penyelia syarikat kontraktor projek jalur lebar itu pada jam 8.28 malam, Rabu lalu.

Menurutnya, mesej itu menyatakan majikan berkenaan menamatkan perkhidmatannya berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, majikannya mendakwa tindakan itu diambil akibat kegagalannya memaklumkan permohonan cuti kerja pada hari berkenaan (Rabu lalu) biarpun perkara itu diketahui penyelia syarikat dan dibenarkan berbuat demikian.

“Selama ini saya tidak pernah ponteng kerja selain bertungkus-lumus menyiapkan beberapa tugasan, termasuk membuat laluan kabel bagi projek jalur lebar di kawasan Gelang Patah.

“Namun permohonan cuti pada Rabu lalu bertujuan berurusan di Jabatan Agama Johor (JAJ) bagi membincangkan berkaitan pernikahan saya bersama tunang pada 11 Mac depan.

“Saya pelik apabila didakwa mengambil ringan soal kerja biarpun menyiapkan projek itu hampir 60 peratus sejak diserahkan pada Disember lalu,” katanya yang datang ke pejabat Metro Ahad, di sini semalam.

Shahrul berkata, majikan itu sepatutnya menyerahkan surat peringatan mahupun menasihatkannya berkaitan sebarang aduan diterima berhubung tugasannya dan bukan mengambil tindakan secara terburu-buru.

Menurutnya, dia yang berpengalaman bekerja di syarikat itu lebih setahun juga tidak menerima tuntutan gaji selepas diberhenti kerja, selain diminta berurusan dengan jabatan kewangan syarikat.

Katanya, bagi mendapatkan penjelasan mengenai tindakan itu, dia juga menghubungi penyelia sebelum ke rumah pengurus syarikat pada hari sama selepas menerima SMS.

“Meskipun penyelia mahupun pengurus menyedari saya bakal berkahwin, mereka seolah-olah tidak mengambil berat berkaitan soal kebajikan dan masa depan saya apabila menyatakan keputusan itu muktamad.

“Hingga kini, mereka juga gagal menyerahkan surat berhubung tindakan itu dan sekadar menghantar SMS berkenaan.

“Saya bimbang perkara berkenaan menjejaskan perancangan untuk berumah tangga kerana ia mungkin menggugat keyakinan bakal keluarga mentua,” katanya yang memberitahu majlis pernikahannya hanya tinggal 20 hari lagi.

Shahrul turut membuat laporan polis di Balai Polis Taman Johor Jaya, di sini, semalam.

No comments:

Post a Comment