Wednesday, February 23, 2011

Gaddafi arah bedil penduduk di Libya



TRIPOLI - Pemerintah Libya, Muammar Gaddafi menggunakan kereta kebal, helikopter dan jet pejuang untuk memerangi tunjuk perasaan rakyat yang menentang pemerintahannya, kata beberapa saksi semalam.
Tindakan tersebut dilakukan selepas pemimpin berkenaan yang memerintah Libya selama 40 tahun menafikan beliau meninggalkan negara itu dengan berlepas ke Venezuela.
Imej beliau muncul di televisyen selepas terdapat spekulasi beliau telah melarikan diri ke Venezuela.
Presiden Venezuela, Hugo Chavez mempunyai hubungan rapat dengan Gaddafi.
Gaddafi turut berucap di televisyen bahawa beliau akan berjuang sehingga mati menentang para penunjuk perasaan.
Sementara itu, kawasan timur Libya sudah jatuh ditangan para penunjuk perasaan yang menuntut beliau berundur kerana tidak puas hati dengan pemerintahannya.
Menurut beberapa askar kepada agensi berita Reuters, bandar Tobruk di timur negara ini dikuasai oleh penunjuk perasaan.
Para penduduk Tobruk juga menyatakan bandar berkenaan sudah berada dalam tangan para penunjuk perasaan sejak tiga hari lalu.
Menurut beberapa pertubuhan hak asasi manusia, sekurang-kurangnya 233 orang terbunuh sejak penentangan rakyat terhadap Gaddafi tercetus seminggu lalu.
Gaddafi sudah memerintah selama hampir 42 tahun dan beliau berkuasa menerusi rampasan kuasa aman semasa pemerintah Libya, Raja Idris mendapatkan rawatan perubatan di luar negara. - Agensi

Syed Ibrahim Calon Bn Dun Kerdau


TEMERLOH - Naib Ketua UMNO bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad semalam diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau.
Pengumuman itu dibuat Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan lebih 4,000 penyokong BN di Dataran Sri Ketumbit dekat sini.
Syed Ibrahim, 44, yang juga Pegawai Khas Agama Kepada Menteri Besar Pahang merupakan anak tempatan dan berkelulusan dari Universiti Al-Azhar.
Muhyiddin ketika mengumumkan calon BN itu berkata, pemilihan Syed Ibrahim dibuat selepas melalui beberapa saringan di peringkat bahagian UMNO dan badan perhubungan UMNO negeri sebelum diputuskan pucuk pimpinan.
"Selepas melalui beberapa saringan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memutuskan calon berkenaan dua hari lepas," kata Muhyiddin.
Kerusi DUN Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya daripada BN, Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada 12 Februari lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian ditetapkan pada 6 Mac.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Tuesday, February 22, 2011

Projek Gajah Putih Pasar Keramat

BERBAHAYA...dinding zink yang roboh di hadapan Keramat Mall.
BERBAHAYA...dinding zink yang roboh di hadapan Keramat Mall.
TERBIAR....Keramat Mall yang masih tidak beroperasi.
TERBIAR....Keramat Mall yang masih tidak beroperasi.
KUALA LUMPUR: Projek gajah putih. Itu gelaran yang diberikan penduduk sekitar Keramat terhadap kompleks pasar dan perniagaan moden, Keramat Mall yang siap dibina pada penghujung 2008 apabila sehingga kini ia masih gagal beroperasi.
Malah, tinjauan Metroplus mendapati kompleks berharga lebih RM56 juta kira-kira setengah kilometer dari pasar lama dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya teknologi tinggi tenaga solar, dewan serba guna selain menempatkan 448 gerai itu masih ditutup kepada orang awam dan beberapa kawasan di sekelilingnya terbiar dan dipenuhi semak-samun.

Lebih menyakitkan pandangan apabila dinding zink yang dibangunkan di hadapan pasar itu roboh dan tidak diselenggara sehingga berbahaya kepada orang ramai khususnya pejalan kaki dan kanak-kanak.

Bukan itu saja, rata-rata peniaga yang ditemui di Pasar Datuk Keramat masih enggan berpindah ke kompleks berkenaan berikutan kegagalan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan kemudahan dan memenuhi tuntutan mereka.

Peniaga, Sohid Ariffin, 49, berkata lokasi pasar basah yang ditempatkan di bahagian atas kompleks itu tidak praktikal apatah lagi kedudukan lot kedai yang dipisahkan dengan tembok tidak dipersetujui peniaga.

Katanya, peniaga mahukan pasar berkonsep terbuka bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan seperti yang diguna pakai pasar raya besar kerana ia lebih relevan dan mesra pengguna.


“Selagi semua tuntutan tidak dipenuhi, kami enggan berpindah ke sana. Peniaga memerlukan sebuah pasar bukan kompleks seperti itu dengan kedudukan lot kedai tidak teratur dan boleh menyebabkan kami kehilangan pelanggan.

“Bukan hanya perlu menampung kos sewa yang berkali ganda mahal daripada kos sewa kini, bahkan saiz lot kedai di kom
Bagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Ibrahim, 64, peniaga kesal berikutan pihak bertanggungjawab tidak mendapatkan pandangan peniaga sebelum projek itu dibangunkan.

“DBKL seharusnya belajar melalui kesilapan dan kegagalan pihaknya terhadap operasi di tiga pasar awam moden sebelum ini. Lihat saja Kompleks Perniagaan dan Komuniti Bandar Baru Sentul, apa sudah jadi dengan kompleks itu.

“Kami bukan minta secara keterlaluan, tetapi hanya kemudahan yang cukup untuk membolehkan peniaga terus berniaga dan pelanggan berasa selesa,” katanya.

Sementara itu, pelanggan Mokhtar Sajir, 75, berkata kompleks berkenaan tidak mesra pelanggan khususnya warga emas kerana menempatkan pasar basah di tingkat atas.

“Mengapa pasar basah diletakkan di bahagian atas. Biarpun kemudahan lif disediakan, ia tetap menyusahkan pelanggan warga emas. Selain itu, kemudahan tempat meletak kenderaan yang tidak mencukupi bukan hanya menyusahkan peniaga, tetapi pelanggan,” katanya.

Kemelut yang melanda kompleks itu bermula apabila peniaga membuat keputusan sebulat suara mahu DBKL memenuhi semua tuntutan mereka sebagai syarat ‘wajib’ untuk berpindah antaranya meminta DBKL menyediakan peti sejuk besar untuk penyimpanan barangan basah, menyediakan lif bersesuaian untuk kemudahan mengangkut barang selain kadar sewa bulanan lebih rendah. Pada Jun 2009 Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta DBKL bersetuju membina bangunan tambahan yang dikhususkan untuk lebih 124 peniaga barang basah dengan menambah peruntukan RM15 juta.

Bagaimanapun, difahamkan bangunan tambahan itu belum dibangunkan sehingga kini bagi menunggu persetujuan berpindah dari semua peniaga, malah difahamkan satu sesi dialog yang diadakan Oktober lalu turut menemui jalan buntu apabila peratusan persetujuan masih rendah.
pleks itu jauh lebih kecil berbanding lot kedai kami yang sedia ada,” katanya.

Harga petrol mungkin naik


KUALA LUMPUR 21 Feb. - Kerajaan dalam keadaan tertekan untuk mengekalkan subsidi minyak petrol berikutan kenaikan berterusan harga minyak mentah di pasaran dunia ketika ini.
Justeru itu, kata Pensyarah Kanan Kolej Pengurusan Bisnes dan Perakaunan Universiti Teknologi Nasional (Uniten), Dr. Rusinah Siron, rakyat perlu bersedia menerima kemungkinan kenaikan harga petrol di pasaran tempatan meskipun kerajaan memberi jaminan tidak akan sewenang-wenang menaikkan harganya.
"Kita bercakap soal globalisasi yang mana Malaysia juga tidak boleh mengelak daripada kesan negatif daripada kenaikan harga petrol di pasaran dunia.
"Kerana itu, orang ramai perlu rasional dalam menerima kenaikan harga minyak dunia ini serta kesannya kepada ekonomi negara," kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai kemungkinan kerajaan terpaksa mengurangkan subsidi minyak petrol berikutan kenaikan berterusan harga minyak di pasaran dunia yang berharga RM315 setong hari ini.
Beberapa negara telah pun mengambil langkah menaikkan harga minyak masing-masing termasuk China kelmarin sebanyak 4.6 peratus iaitu kenaikan kedua dalam tempoh tiga bulan selepas kenaikan sebesar 14.4 peratus pada Disember lalu.
Sepanjang tahun lalu pula, kerajaan memberi subsidi RM6.3 bilion termasuk untuk petrol dan diesel termasuk RM3.3 bilion bagi subsidi petrol RON95.
Bagaimanapun, berdasarkan situasi semasa harga minyak dunia, subsidi kerajaan dijangka bertambah pada tahun ini.
Dr. Rusinah menambah, beberapa faktor sama ada secara langsung atau tidak langsung ketika ini juga semakin memperlihatkan bahawa harga minyak dunia akan terus melonjak pada masa depan.
Antaranya, kata beliau, ketidaktentuan politik di negara-negara Arab yang merupakan negara pengeluar minyak terbesar dunia, bencana alam, kemerosotan sumber bumi dan tekanan ekonomi global.
"Faktor-faktor ini sangat sukar untuk dijelaskan oleh kerajaan terutamanya di kalangan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana yang akan menanggung kesan daripada kenaikan harga minyak tempatan walaupun lima sen," kata beliau.
Pendapat yang serupa dikongsi oleh pemerhati ekonomi, Nassrul Hakim Jani yang tidak menolak kenaikan harga minyak boleh berlaku kepada mana-mana negara termasuk Malaysia, berdasarkan krisis global ketika ini terutama pergolakan politik di negara Arab.
Begitu pun, kata bekas pensyarah Pengurusan Perniagaan dan Koordinator Pusat Informasi Usahawan, Kolej Profesional Mara, Indera Mahkota, Pahang itu, kerajaan perlu memastikan kenaikan harga minyak tempatan tidak berlaku secara drastik dan terlalu tinggi sehingga menimbulkan rasa panik di kalangan rakyat.
Pada masa sama, katanya, kerajaan juga perlu memberi jaminan harga barang keperluan yang pasti naik bersama kenaikan harga minyak akan kembali kepada harga asal selepas penurunan harga bahan mentah itu.
"Sebagai antara negara pengeluar minyak juga, kerajaan masih boleh mengambil keuntungan daripada kenaikan harga minyak di pasaran dan menggunakannya untuk projek pembangunan yang lain.
"Malah, keuntungan itu juga boleh memastikan kerajaan mengekalkan subsidi minyak seperti yang diberikan ketika ini atau tidak menaikkan harga minyak terlalu tinggi," kata beliau.